Thursday, February 24, 2011

FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.

Islam bermaksud selamat. Masjid sebagai syiar yang penting di dalam Islam tentunya membawa mesej Islam itu sendiri kepada masyarakat. Masjid dapat menjamin keselamatan diri kita sendiri serta masyarakat dengan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Walaupun hanya beberapa hari Rasulullah s.a.w. berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina sebuah masjid.

Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama kita.

Fungsi masjid ketika zaman Rasulullah s.a.w. amat besar. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui peranan dan fungsi masjid ini.

Masjid di masa awal Islam telah berfungsi sebagai ;

(1) pusat ibadah

(2) pusat pendidikan dan pengajaran

(3) pusat penyelesaian permasalahan umat dalam aspek hukum peradilan

(4) pusat penjanaan ekonomi umat melalui Baitulmal

(5) pusat informasi Islam

(6) pernah juga menjadi sebagai pusat latihan tentera

Ringkasnya, pada zaman Rasulullah, masjid dijadikan sebagai pusat peradaban Islam. Manakala individu-individu yang mengimarahkan masjid dipuji oleh Allah SWT sebagai golongan yang menyucikan diri mereka dari najis zahir dan najis batin (dosa). Firman Allah SWT :

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Yang bermaksud ;

“Kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” - (Surah al-Taubah : ayat 108)

No comments:

Post a Comment