Friday, February 25, 2011

PERANAN PENDAKWAH DALAM MENGEMBALIKAN KEKUATAN INSTITUSI MASJID

Dalam proses untuk mengembalikan sesebuah masjid itu supaya dapat berfungsi sebagaimana yang sepatutnya kepada masyarakat, semua pihak yang bertanggungjawab sama ada secara langsung atau tidak perlulah memberi kerjasama sepenuhnya. Bermula dari pihak kerajaan, jabatan agama, para pendakwah, masyarakat setempat sehinggalah kepada golongan ibubapa mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang harus dilaksanakan. Apabila kita menyebut tentang tugas dakwah, ia tidak dapat lari dari panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT di seperti di dalam firmanNya ;


ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ


Yang bermaksud ;

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl : 125)


Di dalam usaha untuk mengembalikan fungsi masjid agar dapat hidup di tengah-tengah masyarakat khususnya umat Islam, para pendakwah hendaklah mengambil pendekatan-pendekatan berikut :


1. Menjadikan masjid sebagai tempat yang mesra masyarakat dengan mengadakan program-program berbentuk kemasyarakatan yang berpusat di masjid. Ia meliputi aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan seperti yang biasa diamalkan atau berbentuk kebajikan seperti majlis penyampaian bantuan dan sebagainya.


2. Menghidupkan masjid dengan aktiviti-aktiviti ceramah yang tidak terlalu menyerang sebahagian anggota masyarakat atas apa-apa jua isu. Walaupun perkara yang disebutkan itu benar, tetapi jika tidak kena dengan caranya, ia tidak akan mendekatkan masyarakat dengan masjid malah menjauhkannya.


3. Berziarah ke rumah anggota masyarakat yang agak renggang dengan masjid juga harus dilakukan dari masa ke semasa dalam usaha mendekatkan mereka denga masjid. Cenderamata dan hadiah yang dibawa walaupun tidak sebesar mana nilainya tetapi mempunyai kesan yang besar di dalam jiwa jika diberikan dengan niat dan hati yang ikhlas.


4. Menjadikan masjid sebagai pusat belajar Al-Quran dan tafsirnya. Kebanyakan masjid telah digunakan sebagai pusat pembelajaran Al-Quran. Amalan ini haruslah diteruskan tetapi ada baiknya jika ditambahkan dengan menerangkan maknanya atau diberi tafsiran Al-Quran kepada mereka supaya mereka sendiri dapat membaca dan memahami ayat-ayat suci Al-Quran.


5. Berikhtiar untuk menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi dalam masyarakat setempat. Sekiranya masjid terletak di dalam kawasan yang luas, ia boleh dikelilingi dengan aktiviti ekonomi dan sosial. Kedai adalah merupakan aktiviti ekonomi yang digalakkan oleh Islam.Oleh itu, masjid haruslah mempunyai kedai atau bazar yang menjual beraneka keperluan masyarakat.


6. Melengkapkan masjid dengan taman juga merupakan satu idea yang baik. Ia membolehkan para jemaah mendapat udara yang bersih sebelum atau selepas sembahyang. Konsep ini masih dalam proses dilakukan di negeri ini mungkin kerana ketiadaan tanah atau kebanyakan masjid terletak di kawasan sempit.


7. Menjadikan masjid sebagai pusat percambahan ilmu kepada masyarakat. Dalam hal ini, masjid haruslah mempunyai perpustakaan yang lengkap bukan sahaja membekalkan buku-buku agama, tetapi juga buku yang berkaitan dengan ibadah dan muamalah. Begitu juga buku-buku mengenai ilmu sosial, ekonomi, politik dan sebagainya haruslah diletakkan di dalam perpustakaan masjid. Buku-buku ini boleh didapati secara mudah dan murah sekiranya ahli jawatankuasa masjid itu sanggup meminta sumber daripada badan-badan tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, syarikat percetakan dan sebagainya. Selain itu, Jawatankuasa Kariah juga boleh memohon derma dalam bentuk buku daripada para penduduk di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment