1. Menyatukan Umat Islam
· Islam amat mementingkan semangat bersatu padu sesama umat Islam. Oleh itu, apabila semua umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid, kesatuan di kalangan para penduduk dapat diwujudkan dan merapatkan lagi hubungan silaturahim antara mereka. Imam juga mempunyai tanggungjawab untuk mencuba sedaya upaya memperkukuh dan menyatupadukan umat Islam dengan berdakwah mengajak mereka untuk pergi ke masjid menunaikan solat secara berjemaah bersama serta mengadakan lebih banyak program keagamaan seperti ceramah, tadarus Al-Quran, kelas tajwid dan lain-lain. Seseorang imam juga mestilah bersifat terbuka dalam menangani pertentangan atau perbezaan pendapat di kalangan jemaah ataupun orang ramai sekiranya berlaku percanggahan pendapat dan memberi penyelesaian yang terbaik kepada mereka.
2. Menghidupkan Semangat Mesyuarat
· Masjid ini juga berfungsi sebagai tempat untuk bermesyuarat bukan sahaja di antara pentadbir dengan jawatankuasa sahaja, tetapi juga sesama jemaah. Mesyuarat ini penting sekiranya berlaku pertikaian ataupun timbulnya sesuatu masalah. Imam masjid dan pentadbir hendaklah bermesyuarat untuk mendapatkan penyelesaian dan perancangan baru supaya dapat meninggikan syiar Islam serta menghidupkan semangat keislaman. Selain itu, hal lain yang perlu dibincangkan juga ialah tentang cara-cara untuk mengajak lebih ramai orang ke masjid pada setiap waktu solat secara istiqamah.
3. Memperkukuhkan Akidah Umat Islam
· Di zaman dunia yang serba moden ini, umat Islam sangat perlu memelihara akidah mereka sebelum terjebak dengan gejala yang negatif. Akidah yang mantap penting lebih-lebih lagi untuk menghindarkan diri kita daripada terikut dengan ajaran atau pemahaman yang sesat.
4. Sebagai Institusi Keislaman, Pelajaran, Kemasyarakatan dan Kebajikan
· Masjid ini juga menjadi tempat rujukan bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam di sekitar kawasan itu. Selain itu, masjid ini juga berfungsi sebagai institusi ilmu untuk kecemerlangan dan kemajuan umat Islam. Budaya ilmu diperluaskan dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan dan ilmiah seperti program ceramah, forum, kelas tajwid untuk kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa, kelas pengajian Al-Quran dan kelas fardu ‘ain. Program-program ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan tentang Islam kepada orang ramai supaya mereka tidak jahil tentang ilmu agama. Masjid ini juga menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan moral dan material bagi meringankan beban kewangan serta mengurangkan masalah gejala sosial di kalangan mereka.
5. Mempererat Kerjasama Antara Umat Islam
· Kerjasama yang erat di kalangan jemaah amat diperlukan untuk mewujudkan kemakmuran serta menjadikan umat Islam sebagai umat yang maju. Kerjasam ini juga perlu wujud di kalangan imam dan ahli jawatankuasa masjid supaya mereka akan saling membantu dalam menyebarkan serta menegakkan agama Islam yang suci ini. Seperti firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah ash-Shaff: 4)
No comments:
Post a Comment